Ahad, 24 Jun 2012

Ada Apa pada Diabetes jenis 2?


Diabetes jenis 2 adalah penyakit sepanjang hayat yang kronik di mana terdapat paras gula (glukosa)  yang tinggi dalam darah. Diabetes jenis 2 adalah bentuk diabetes yang paling biasa dihidapi.

Punca dan Faktor Risiko

Diabetes adalah disebabkan oleh masalah dalam sistem badan anda semasa menghasil atau menggunakan insulin. Insulin diperlukan untuk memindahkan kandungan gula dalam darah iaitu glukosa ke dalam sel, di mana ia disimpan dan kemudiannya digunakan untuk menghasilkan tenaga.

Apabila anda menghidap diabetes jenis 2, lemak, hati, dan sel-sel otot tidak bertindak balas dengan betul terhadap insulin yang disebut sebagai kerintangan insulin (insulin resistance). Akibatnya, kandungan gula dalam darah tidak masuk ke dalam sel-sel untuk disimpan bagi menghasilkan tenaga.

Apabila gula tidak dapat masuk ke dalam sel-sel badan, paras gula yang tinggi akan terhasil dalam darah. Keadaan ini dipanggil hiperglisemia.

Diabetes jenis 2 biasanya berlaku secara perlahan-lahan dari masa ke masa. Kebanyakan penghidapnya mempunyai berat badan yang berlebihan apabila didiagnosis. Peningkatan lemak menjadikan tubuh semakin sukar untuk menggunakan insulin dengan cara yang betul.

Diabetes jenis 2 juga boleh dihidapi oleh mereka yang kurus dan lebih kerap berlaku di kalangan warga emas.

Sejarah keluarga dan faktor keturunan memainkan peranan yang besar dalam penyakit diabetes jenis 2. Tahap kegiatan aktiviti yang rendah, pemakanan yang tidak sihat dan berat badan yang berlebihan (lemak di sekeliling pinggang) juga boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit ini.



Gejala-gejala awal

Kebiasaannya orang yang menghidap diabetes jenis 2 ini tidak mempunyai sebarang simptom pada mulanya. Mereka mungkin tidak mempunyai sebarang gejala selama beberapa tahun.

Gejala-gejala awal diabetes mungkin termasuk:
  • Jangkitan pada pundi kencing, buah pinggang, kulit, atau lain-lain jangkitan yang lebih kerap atau sembuh secara perlahan-lahan
  • Keletihan
  • Kelaparan
  • Sering dahaga
  • Membuang air kecil dengan kerap

Gejala pertama yang mungkin dihidapi:
  • Penglihatan yang kabur
  • Ketidakfungsian erektil
  • Sakit atau kebas di kaki atau tangan


Sila lihat artikel Apakah Ukuran Pinggang Anda untuk pengiraan ukuran pinggang yang sihat.


Sumber Info:
PubMed Health


Sumber gambar:
topnews.in
http://www.lovehandleexercises.info

Tiada ulasan:

Catat Ulasan